PETRONAS Digesa Pertimbang Tubuh Pusat Kuarantin Sendiri Untuk Kakitangan Di Bintulu

RABU, 24 MAC 2021

BINTULU: Syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) digesa mempertimbangkan untuk menubuhkan pusat kuarantin  sendiri untuk kakitangan di Bintulu. 

Dalam kenyataan media pada Rabu, Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, ianya bagi menampung kakitangan kontrak yang datang dari tempat lain untuk bekerja di Bintulu sekaligus mengelak kebimbangan jangkitan wabak pandemik COVID-19. 

“Sebelum menempatkan pekerja dari bandar lain untuk bekerja di Bintulu, ejen perlu memastikan pekerja mereka menjalani ujian calitan COVID-19 di tempat asal tiga hari sebelum dan kemudian memohon permit rentas daerah dan bahagian dari balai polis berdekatan. 

“Pada masa yang sama, beliau berharap pihak polis akan bekerjasama dalam hal ini, termasuk meminta pemohon untuk mengemukakan laporan ujian calitan COVID-19 sebelum mengeluarkan permit rentas daerah atau bahagian,” katanya. 

Dalam pada itu, ujar Dato’ Seri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China menegaskan cadangan menubuhkan pusat kuarantin sendiri bukan bertujuan menyukarkan syarikat itu. 

“Pejabat Kesihatan Bintulu telah menyiasat kes sebegini dan mendapati beberapa pesakit baru COVID-19 tiba di Bintulu dan berasal dari zon merah.

“Mereka telah memberikan keterangan palsu dan mendakwa telah tinggal di Bintulu sejak sekian lama serta tidak diuji di tempat berlepas dan dalam masa yang sama merayau di sekitar Bintulu. 

“Keadaan ini telah menyukarkan petugas barisan hadapan dan terpaksa menggunakan pendekatan tiga pihak iaitu, syarikat, ejen dan polis untuk cuba mengawal ketat daripada merebaknya jangkitan wabak COVID-19 di Bintulu,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk agensi minyak dan gas itu bekerjasama dan tidak meletakkan nyawa orang lain dalam risiko untuk kepentingan mereka sendiri dan penjimatan kos. 

Pada masa sama polis perlu memberi perhatian dalam hal ini, supaya permit tidak disalahgunakan.

Dato Seri Tiong turut juga memaklumkan telah menerima aduan daripada orang ramai berhubunng dengan ada beberapa hotel kuarantin di Bintulu tidak melakukan kerja-kerja sanitasi bilik dengan teliti. 

Justeru, beliau menggesa pihak hotel menyelia kerja-kerja tersebut dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dengan membersihkan bilik tetamu terlebih dahulu dengan teliti dan dibasmi dengan anti kuman selepas mendaftar keluar, bagi membolehkan tetamu seterusnya boleh mendaftar masuk bagi mengelak dijangkiti virus. -EDISI UKAS

Share

add comment