Program Pembudayaan Amalkan Norma Baharu Di Lubok Antu

RABU, 24 MAC 2021

LUBOK ANTU: Program Pembudayaan Amalkan Norma Baharu COVID-19 anjuran Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) di tiga rumah panjang di Lubok Antu adalah program kesedaran tanggungjawab bagi membudayakan norma baharu dalam kehidupan komuniti seharian.

Pemangku Setiausaha MDLA, Tommy Laman berkata, ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk memperingatkan rakyat setempat untuk mengamalkan 3W dan mengelakkan 3C.

“Saya menyeru agar semua komuniti untuk mendaftar bagi penerimaan vaksin COVID-19 dan menjalani kehidupan seharian dengan mengamalkan norma baharu.”

“Amalan 3W iaitu ‘Wash, Wear, Warn’ harus diamalkan dan elakkan 3C iaitu ‘Crowded Space, Confined Space, Closed Conversation,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program tersebut di Rumah Annam Unchat, Nanga Bila Antu dan Ulu Lemanak Lubok Antu pada Selasa.

Dalam pada itu juga, beliau memberi penghargaan kepada semua kakitangan dan ahli-ahli MDLA yang bekerjasama dalam melaksanakan program tersebut.-EDISI UKAS

Share

add comment