Ramai Rakyat Sarawak Kini Telah Ceburi Bidang Pertanian – Datuk Dr Abdul Rahman

RABU, 24 MAC 2021

BEKENU: Ramai di kalangan rakyat Sarawak telah menceburi bidang pertanian selepas promosi besar-besaran yanng telah diadakan Kerajaan Sarawak sebelum ini. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, mengambil contoh pekebun durian Mohamad Momen @ Aziz, 60 tahun telah mengusahakan buah durian dan pelbagai jenis tanaman sejak 5 tahun yang lalu tanpa bantuan daripada kerajaan. 

“Pekebun seperti Mohamad Momen ini perlu dibantu kerajaan supaya dapat melonjakkan lagi langkah yang lebih jauh dengan menggunakan sistem pepaipan yang lebih moden dan baja organik yang bagus. 

“Sarawak menyasarkan pertanian menjadi bahan eksport utama Sarawak menjelang tahun 2030 dan yakin hasrat ini akan tercapai sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam bidang pertanian ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kebun Kampung Padang Kelulit, Bekenu pada Selasa. 

Tambahnya lagi, selaku Pengerusi Perladangan Sarawak, beliau akan melawat ke seluruh 28 buah pertubuhan kawasan bagi memastikan semua ahli aktif dan membantu mereka berjaya mengeksport atau memasarkan barangan hasil tanaman mereka kelak.

Pada majlis itu Datuk Dr Abdul Rahman mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada Mohamad Bin Momen @ Aziz untuk membina kolam air sebagai sumber untuk menyiram pokok durian dan memperbaiki jalan menuju ke kebun ini.

Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus dan ADUN Lambir Ripin Lamat. -EDISI UKAS

Share

add comment