6 Sekolah Di Daerah Bintulu Ditutup Selepas 12 Pelajar Dan Kakitangan Didapati Positif COVID-19

KHAMIS, 25 MAC 2021

BINTULU: Sebanyak enam buah sekolah di Daerah Bintulu telah ditutup selepas 12 pelajar dan kakitang didapati positif COVID-19 pada Selasa. 

Menurut Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menerusi kenyataan media pada Rabu, enam buah sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Siong Boon, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony, SK Sungai Tisang, SK Kelawit, SK Nanga Tau dan SK Kampung Jepak.

Dalam pada itu, tambah Datuk Sri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu, empat guru sekolah rendah dan menengah serta pelajar yang terlibat dalam pengajaran dalam talian juga telah diuji positif COVID-19.

“Mereka ini dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu, SMK Baru, SMK Tatau dan SK Tanjung Batu tetapi sekolah-sekolah ini belum ditutup kerana mereka yang dijangkiti hanya terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian sebelum diuji positif COVID-19,” ujarnya.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan Bintulu telah menempatkan pelajar dan guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang dijangkiti COVID-19 untuk dikuarantin di hotel bagi tujuan pengasingan dan menjalankan ujian calitan  hidung dan tekak.

Kerja-kerja sanitasi turut dijalankan ke atas premis yang terlibat.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut memaklumkan ada ibu bapa yang mengesyorkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menghentikan sementara kelas secara bersemuka bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19. 

Pada masa sama meminta KPM mengkaji semula kes-kes tersebut dan mendengar maklum balas daripada ibu bapa untuk menggantikan pengajaran secara bersemuka dengan kelas dalam talian memandangkan bilangan kes yang disahkan di sekolah terus meningkat. -EDISI UKAS

Share

add comment