Bendera Rasmi LAKMNS Dirasmi, Digunapakai Dalam Majlis Rasmi

KHAMIS, 25 MAC 2021

KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) kini mempunyai bendera rasmi yang akan digunakan dalam penganjuran majlis-majlis rasmi LAKMNS pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pelancaran bendera ini adalah sebagai simbol kekuatan dan kesiapsiagaan LAKMNS dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Pemilihan warna kuning untuk bendera ini adalah bagi melambangkan ketegasan, ceria serta optimis di samping sebagai manifestasi kesetiaan kepada Raja dan pemerintah.

“Logo LAKMNS yang diletakkan di tengah bendera pula adalah melambangkan kesepaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya dalam Majlis Pengibaran Bendera LAKMNS di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kegembiraan kerana perasmian bendera ini dilakukan pada hari yang sama dengan sambutan Hari Polis Diraja Malaysia yang ke-214.

Terdahulu, Datuk Abang Abdul Wahap memeriksa kawalan perbarisan daripada 30 orang anggota Polis Bantuan yang diketuai oleh Sarjan Mejar Ahmad Tomizi Othaman.

Seterusnya majlis dipersembahkan dengan perarakan membawa masuk panji-panji diikuti penyerahan bendera daripada Ketua Pegawai Eksekutif kepada Sarjan Mejar Bahron Judin untuk dikibarkan.-EDISI UKAS

Share

add comment