Jalan Baru Beri Sinar Kepada Penduduk Kampung Klid, Dalat

KHAMIS, 25 MAC 2021

DALAT: Kampung Klid di Dalat tidak lagi terpencil selepas ini sebaik pembinaan jalan yang menghubungkan Kampung Medong, Lebrasau dan Klid siap sepenuhnya.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, pembinaan jalan menelan kos sebanyak RM44.4 juta juta itu sememangnya amat dinanti rakyat di situ.

Beliau yang juga ADUN Dalat berkata, jalan itu nanti bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Klid dan sekitarnya malah termasuk para pendidik dan kakitangan yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Klid.

“Untuk DUN Dalat, Kampung Klid merupakan kampung yang paling jauh sekali dan merupakan kampung yang belum ada akses jalanraya.

“Projek rakyat ini sangat bermakna kepada keseluruhan penduduk di N.56 Dalat khususnya yang tinggal di Klid dan yang bekerja di SK Klid, termasuk guru-guru dan kakitangan sokongan yang lain,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak selepas meninjau tapak projek itu pada Rabu.

Datuk Seri Fatimah juga berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana telah meluluskan projek tersebut.

“Projek ini telah mula diimplimentasi pada 6 April tahun lepas dan dijangka siap pada 5 Oktober 2022. Hari ini kita lihat ada sedikit kelewatan dari segi progresnya dan kontraktor memberitahu masalah utama adalah disebabkan pandemik COVID-19.

“Tetapi mereka berjanji untuk memastikan mereka mengikut jadual. Dalam tempoh tiga bulan ini, mereka akan dapat melaksana projek mengikut jadual yang sepatutnya dalam perancangan,” katanya.

Apabila siap kelak, jalan sejauh 11.5 kilometer itu akan memberi manfaat kepada sekitar 338 penduduk di Kampung Klid termasuk warga kakitangan di SK Klid.

Sementara itu, Datuk Sri Fatimah berkesempatan melawat Kompleks Kebajikan Daerah Dalat (KKD) yang telah siap dibina sepenuhnya dengan kos kira-kira RM12.5 juta.

Menurutnya, kompleks itu bukan hanya menyediakan kemudahan yang kondusif, selamat, berkualiti malah juga literasi awal untuk masa depan.

Katanya, kompleks itu akan menempatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Dalat (JKM Dalat), Pusat Pemulihan Dalat Komuniti (PDK Dalat), Taska Sedidik, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE Dalat) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK Dalat) yang bakal ditubuhkan.

Selain itu, kompleks itu juga mempunyai prasarana seperti dewan serbaguna, gimnasium termasuk Taska Sedidik untuk kemudahan ibu bapa yang bekerja.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak JKM Dalat dan organisasi terbabit mula membuat perancangan dan persediaan yang sewajarnya untuk berpindah ke kompleks itu nanti. – EDISI UKAS

Share

add comment