Kerajaan Sarawak Bantu Petani Tingkat Tanaman Anak Jagung Di Bau

KHAMIS, 25 MAC 2021

BAU: Kerajaan Sarawak telah menunaikan janji untuk memberi sebuah Traktor Pembajak Tanah kepada kepada 83 peserta ladang penanaman anak jagung Kampung Skiat Baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jine berkata, Kampung Skiat Baru adalah satu-satuya kampung di kawasan DUN Tasik Biru yang tidak asing lagi dengan penanaman dan pengeluaran anak jagung untuk daerah Bau.

“Jadi apabila Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahukan daerah Bau ini sebagai ‘Food Basket’, saya mengambil iltizam supaya pertanian ini dimodenkan dana yang telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk membekalkan satu mesin traktor untuk kerja-kerja membajak tanah bertujuan untuk menanam ‘Baby Corn’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Input Pertanian Mesin Pembajak Tanah Di Kampung Skiat Baru, Bau pada Rabu.

Dato Henry menambah, kewujudan mesin tersebut dapat mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan tumpuan yang lebih dapat diberikan dalam mencari cara untuk melakukan pemasaran produk.

“Saya minta kepada pihak pertanian apabila kerja-kerja bercucuk tanam dimulakan dan hasilnya nanti kita minta pihak pertanian membantu untuk memasarkan produk anak jagung tersebut supaya nilai dan hasil produk bertambah sekaligus menambah pendapatan peserta.

“Kalau kita biarkan pertanian diusahakan dengan cara lama dengan menggunakan tenaga itu sendiri saya percaya hasilnya tidak begitu memuaskan.

“Dengan adanya bantuan peruntukan ini daripada Kerajaan Negeri saya percaya hasilnya akan lebih dan bukan sahaja 58 peserta tetapi mungkin akan ramai lagi bertambah apabila luasnya lagi kawasan tanah diterokai untuk tanaman anak jagung,” ujarnya.

Datuk Henry juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan GPS kerana membantu rakyat dan Jabatan Pertanian Bau yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkan mesin itu yang tertangguh selama setahun untuk sampai ke kampung itu disebabkan terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kampung ini adalah yang pertama di Bau mendapat bantuan traktor mesin pembajak kerana mengusahakan penanaman secara berkelompok dan selepas ini sistem perparitan kawasan ladang akan dilakukan oleh pihak Jabatan Pertanian, katanya.

Sementara itu, Pegawai Menguasa Pertanian Daerah Bau berkata, traktor yang berharga RM83,000 itu turut dibekalkan dengan ‘Tiller’ dan ‘Tipping Trailer’.

Katanya lagi Jabatan Pertanian Bau juga telah membekalkan input pertanian di bawah AFF ADUN Tasik Biru seperti racun, baja dan anak benih jagung kepada para peserta yang mengusahakan tanaman tesebut secara ladang kontrak pada tahun lepas.

Ketua Kaum Kampung Skiat Baru, Lia Jacub ketika ditemui pula merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana merealisasikan hasrat penduduk untuk meningkatkan hasil dan mutu produk mereka.-EDISI UKAS

Share

add comment