Prihatin Dengan Keperluan Masyarakat, Kerajaan Sarawak Teruskan Pembangunan Di Bawah Inisiatif Sendiri

KHAMIS, 25 MAC 2021

KUCHING: Menjadi aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap keperluan masyarakatnya dipenuhi demi kesejahteraan kehidupan yang lebih baik pada hari ini dan akan datang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, untuk memastikan keperluan masyarakat  di negeri ini dipenuhi, Kerajaan Sarawak telah meneruskan projek pembangunan menerusi inisiatif sendiri seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Rakyat dan sebagainya. 

“Kerajaan Sarawak begitu prihatin dengan kehendak dan keperluan pembangunan negeri dan masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. 

“Selain merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, prasarana pembangunan ini juga berusaha meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat di kampung,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan pecah tanah Projek RTP Menaik Taraf Padang Bola Kampung Bako Lot pada Rabu. 

Projek Padang Bola Kampung Bako Lot ini menelan kos sebanyak RM100,000 dan akan siap dalam tempoh enam bulan dengan kerja-kerja pembinaan kini sedang dilaksanakan. 

Mengulas lanjut Projek RTP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, beliau berkata sejak 2015 sebanyak 154 Projek RTP DUN dengan kos lebih RM34.5 juta telah dilaksanakan. 

“Dengan adanya projek pembangunan RTP ini telah membolehkan pembangunan projek-projek kecil diadakan dan dilaksanakan di kawasan luar bandar,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment