RM2.2 Juta Diluluskan Untuk Baik Pulih Kerosakan Akibat Banjir Di DUN Tasik Biru

KHAMIS, 25 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana bencana berjumlah RM2.2 juta untuk melaksanakan projek-projek baik pulih kerosakan yang berlaku akibat banjir yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri Tasik Biru pada Januari lepas.

ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata peruntukan itu diluluskan hasil perjumpaannya bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurutnya, Tasik Biru merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir tersebut.

Tambahnya, daripada jumlah dana itu, ia akan melibatkan sebanyak 35 buah projek yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita mempunyai 35 projek yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Oleh itu, pihak kerajaan telah memberi kita kelonggaran supaya projek ini tidak dibuat secara tender tetapi secara cabut undi untuk kontraktor di kawasan DUN Tasik Biru sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat bagi kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang terjejas akibat bencana monsun timur laut Daerah Bau bertempat di Majlis Daerah Bau pada Rabu.

Dato Henry berharap pihak kontraktor dapat berkerjasama dengan pihak JKKK dan menyegerakan projek tersebut untuk memastikan rakyat dapat menerima manfaat secepatnya.-EDISI UKAS

Share

add comment