Tempat Parkir Baru Akhiri Masalah Kesesakan di Pasar Dalat

KHAMIS, 25 MAC 2021

DALAT: Projek menaik taraf parit konkrit di tapak parkir hadapan Pasar Dalat bakal menyelesaikan masalah tempat letak kereta di kawasan tersebut.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, tempat parkir itu juga dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Pasar Dalat khususnya pada hujung minggu.

“Dalat menghadapi kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan jalanraya.

“Apabila siap, tapak parkir ini boleh menempatkan 37 buah kereta dan 40 motosikal. Bila siap boleh mengurangkan masalah kesesakan di Dalat ini,” katanya kepada UKAS semasa meninjau tapak projek itu pada Rabu.

Dato Sri Fatimah menambah kawasan itu akan dijadikan tapak pasar malam untuk memberi peluang kepada orang ramai di Dalat mencari rezeki.

Katanya, kawasan itu lebih teratur dan lebih luas dari segi lalu lintas.

“Ini merupakan salah satu cara kita untuk membantu peniaga-peniaga kita untuk mencari rezeki dengan kemudahan yang lebih baik,” tambahnya.

Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Dalat itu akan menelan kos sebanyak RM500,000 dan dijangka siap sepenuhnya pada 19 April 2021. – EDISI UKAS

Share

add comment