5 Kawasan Di Bahagian Bintulu Dilulus Dan Disukat Perimeter

JUMAAT, 26 MAC 2021

BINTULU: Sebanyak lima buah kawasan di Bahagian Bintulu telah dilulus dan disukat perimeter. 

Menurut Pegawai Tadbir Tanah Ahmad Raslan, lima kawasan itu ialah Sungai Teban Lavang Sebauh, Sungai Kelawit Tatau, Kampung Lavang Sebauh, Sungai Anap Tatau dan Batu 15, Jalan Ulu Sebauh. 

“Menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan pada tahun 2010, Kerajaan Sarawak telah mengiktiraf Tanah Adat Bumiputera (NCR) melalui penyukatan perimeter tanah di bawah Seksyen 6 dan hak pemilik tanah adalah terjamin.  

“Selepas tanah disukat dan diwartakan di bawah Seksyen 6, penduduk di kawasan tersebut melalui jawatankuasa komuniti setempat boleh memohon tanah mereka disukat menerusi Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya semasa berucap dalam Dialog Inisiatif Baharu NCR yang diadakan di Pejabat Jabatan Tanah dan Survey Bahagian Bintulu pada Khamis. 

Tambah Ahmad lagi, kelima-lima kawasan ini sebenarnya telah diluluskan penyukatannya sejak tahun 2012, 2014 dan 2018 tetapi belum dapat disukat dan diwartakan atas sebab terdapatnya bantahan daripada penduduk yang meminta kawasan yang lebih besar daripada yang telah diluluskan.

Beliau turut menjelaskan objektif utama penyukatan perimeter di bawah Inisiatif Baharu NCR ini adalah untuk ‘menyelamatkan’ tanah yang tertakluk kepada Hak Adat Bumiputera yang sahih berdasarkan rekod jabatan terlebih dahulu dan mana-mana kawasan yang berada di luar sempadan NCR yang sahih akan diselesaikan melalui proses permohonan tanah yang berasingan.

Ini kerana ada sebahagian Tanah NCR yang telah diluluskan bertindih dengan tanah yang telah ada komitmen pada masa itu seperti kawasan Permanent Forest Estate yang telah diwarta dan kawasan yang telah diluluskan untuk dibangunkan di bawah konsep NCL Development di bawah LCDA Ordinance.

Sehubungan itu dialog seumpama ini juga untuk mendapatkan respon dan input daripada wakil penuntut dan meminta kerjasama mereka dalam menjayakan penyukatan perimeter dan seterusnya pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Dialog ini diadakan bagi memberi penerangan dan sesi dialog pada peringkat awal sebelum kerja-kerja penyukatan tanah diadakan.

Ianya telah dihadiri wakil penduduk dan Tuai Rumah dari kawasan Sungai Teban Lavang Sebauh, Sungai Kelawit Tatau dan Kampung Nyalau Bintulu.

Turut hadir semasa taklimat tersebut adalah Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian, Pegawai Tadbir Daerah Bintulu Catherine Sayu dan Penolong Pegawai Tadbir Daerah Sebauh Dennis Gasing. -EDISI UKAS

Share

add comment