ADUN Saribas, Ahli Parlimen Betong Santuni Mangsa Kebakaran Kampung Hilir Supa

JUMAAT, 26 MAC 2021

BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam pada Rabu tampil untuk menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Hilir Supa yang berlaku pada Isnin lepas.

Prihatin dengan beban ditanggung mangsa, beliau telah menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM3500 manakala Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat menyumbang sebanyak RM5000 yang disampaikan wakil beliau iaitu Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu.

Ketika ditemuramah UKAS, Mohammad Razi berkata beliau telah memohon kepada Pejabat Daerah Betong untuk memberi keutamaan dalam urusan pembinaan baru rumah mangsa.

“Untuk meringankan beban mangsa kebakaran, saya dari Pusat Khidmat DUN Saribas serta Pusat Khidmat Ahli Parlimen kita, Datuk Robert Lawson Chuat telah turun untuk membantu sedikit sumbangan untuk meringankan beban mereka.

“Untuk rumah yang telah hangus atau rosak 100 peratus ini, saya telah berbincang dengan pihak Pegawai Pejabat Daerah Betong, Sofhi Jebal sendiri di mana kita memohon agar mangsa kebakaran ini diberi keutamaan dari segi bantuan bina baru rumah tersebut dan kita harap mangsa kebakaran memberi ruang dan masa untuk pihak pejabat daerah dalam mengurus bantuan tersebut,” katanya.

Tambahnya, Pusat Khidmat DUN Saribas juga telah memberi arahan kepada pihak kebajikan untuk membantu dari segi bahan asas kepada mangsa kerana ketika ini ahli keluarga mangsa tinggal sementara di rumah saudara mereka.

Sementara itu, Dr. Richard ketika ditemuramah berkata Kerajaan Negeri melalui pusat khidmat akan sentiasa berusaha dan bekerjasama dengan pihak Pejabat Daerah supaya kerja-kerja untuk membantu membina semula rumah mangsa dapat disegerakan.

Beliau juga berharap berharap agar ahli keluarga mangsa tabah mengharungi musibah yang berlaku.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Bahagian Betong memaklumkan mereka akan memberi bantuan bahan asas untuk membina rumah baru mangsa dengan jumlah maksimum sebanyak RM5000. – EDISI UKAS

Share

add comment