ADUN Tanjong Datu & 175 Petugas Barisan Hadapan Terima Dos Kedua Vaksin COVID-19

JUMAAT, 26 MAC 2021

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu bersama 175 petugas barisan hadapan dari daerah Lundu menerima dos kedua vaksin COVID-19 pada Jumaat.

Bercakap ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Amar Jamilah menggesa penduduk di daerah berkenaan khususnya dari kawasan Tanjong Datu untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Jelas beliau, mereka boleh mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau melalui ketua kampung masing-masing.

“Berdasarkan maklumat dari Pegawai Daerah Lundu, setakat jam 8 pagi hari ini (Jumaat), seramai 17,381 nama pemohon untuk vaksin COVID-19 telah diterima.

“Ini termasuklah dari kampung-kampung dalam daerah Lundu serta kakitangan agensi kerajaan serta swasta dalam daerah Lundu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sasaran bagi daerah Lundu masih belum tercapai memandangkan Pejabat Kesihatan Daerah Lundu menyasarkan seramai 30,000 orang untuk divaksin dalam daerah berkenaan.

“Jadi, saya menggesa masyarakat dalam daerah Lundu lebih proaktif untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19 dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak COVID-19,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment