Andy Jong Kekal Presiden NSJA 2021-2022

JUMAAT, 26 MAC 2021

MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) akan mengambil inisiatif untuk melaksanakan Projek CSR mewujudkan satu ikon untuk Bandaraya Miri dengan slogan ‘Sayangi Miri’.

Dalam ucapan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Presiden NSJA pada Rabu, Andy Jong memberitahu NSJA telah menganjurkan pelbagai aktiviti serta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahun lalu dan telah menerima banyak maklum balas positif daripada masyarakat.

“Dana projek membangunkan ikon dengan slogan ‘Sayangi Miri’ itu telah berjaya dikumpul namun terpaksa ditangguhkan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19,” katanya. 

Sehubungan itu, Andy Jong berharap projek tersebut akan dapat dilaksanakan pada tahun ini agar ia dapat memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan tempatan.

Dalam AGM Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bagi Penggal 2021-2022, Andy Jong Wan Joon sekali lagi telah diberikan mandat untuk kekal menjawat jawatan Presiden NSJA bagi penggal 2021-2022.

Andy yang menjadi presiden NSJA sejak 2017 telah mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli yang hadir.

Turut mengekalkan jawatan sama sebagai Naib Presiden bagi penggal baharu ini ialah Rosemaria Buma daripada Utusan Borneo.

Turut dipilih pada mesyuarat itu ialah Michelle Choo Lee Nyuk sebagai Setiausaha, Mohd Aliff Idzwan Abdullah memegang jawatan Penolong Setiausaha.

Manakala, Chai Chon Chin mengekalkan jawatan sama sebagai Bendahari dan Esther Ching Heng Sing dilantik memegang Penolong Bendahari.

Sembilan lagi ahli jawatankuasa lain turut dipilih terdiri daripada Catherine Igang, Noriza Jau, Cindy Lai Pek Sian, Lee Cheng Choi, Huang Ung Key, Liong Chai Ling, Margaret Ringgit, Alan Yong Siaw Chyang dan Liew Li Mui. 

Sementara, Rick Wong Vui Chin dipilih sebagai juruaudit untuk penggal baharu ini. -EDISI UKAS

Share

add comment