Malaysia Perlu 60 Juta Dos Vaksin COVID-19: Datuk Aaron Ago Dagang

JUMAAT, 26 MAC 2021

SELANGAU: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60 juta dos vaksin COVID-19 untuk 30 juta rakyat termasuk warga asing yang berkerja di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sehingga kini negara telah menerima sejuta dos vaksin Pfizer dan 200,000 dos Sinovac.

“Negara memerlukan sekurang-kurangnya 60 juta dos vaksin COVID-19 termasuk untuk warga asing yang bekerja di Malaysia,” katanya.

Bercakap semasa Program Malaysia Prihatin di Dewan Masyarakat Selangau baru-baru ini, beliau menggesa rakyat negara ini untuk bersama-sama mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengenalpasti lebih 900 Pusat Vaksinasi di seluruh negara dan memerlukan ramai tenaga untuk melancarkan program vaksinasi.

“Untuk melancarkan program vaksinasi ini, kita memerlukan banyak tenaga kerja.

“Kita berharap rakyat memberikan kerjasama dengan mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Aaron Ago Dagang turut melakukan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Selangau bagi meninjau dan mengenalpasti isu-isu di klinik tersebut.

Menurut beliau, antara isu yang dikenalpasti ialah mengenai pembinaan pusat hemodialisis di klinik berkenaan.

“Satu daripada masalah disana adalah pembinaan pusat hemodialisis di Klinik Kesihatan Selangau yang tidak kesampaian sehingga ke hari ini.

“Bangunan klinik kesihatan yang dibina sejak 50 dan 60 tahun yang lepas dan masih menggunakan kayu akan dinaiktaraf,” ujarnya.

Turut mengiringi beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christhoper Gira Sambang. -EDISI UKAS

Share

add comment