Industri Kraf Sarawak Jana RM16.7 Juta Tahun 2020

JUMAAT, 26 MAC 2021

GEDONG: Meskipun berdepan pasaran ekonomi yang agak suram akibat penularan COVID-19, industri kraf di Sarawak masih mampu mencatat nilai jualan sebanyak RM16.7 juta sepanjang tahun 2020.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dalam tempoh dua bulan pertama ini sahaja, nilai jualan yang dijana oleh 1,064 usahawan kraf di Sarawak sudah mencecah sebanyak RM1.99 juta.

Bercakap dalam progam Final Masakan Warisan Batang Sadong di Kampung Gedong pada Jumaat, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu, setakat ini seramai 1,051 usahawan kraf di Sarawak berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 46 inap desa dengan jumlah seramai 631 pengusaha di Sarawak telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Katanya, dalam tempoh Januari sehingga September 2020, jumlah pendapatan yang dihasilkan ialah lebih RM936,000 menerusi kedatangan seramai 7,056 pelancong tempatan dan luar.

Sementara itu, beliau merakamkan tahniah kepada seramai 15 peserta final dalam Pertandingan Masakan Warisan Gedong dari Zon 1 Gedong, Zon 2 Lubok Punggor dan Zon 3 Semalatong.

Ujarnya, pertandingan masakan warisan bukan sekadar melihat bakat peserta tetapi sebenarnya bertujuan mengenalpasti produk-produk baharu yang akan memberi nilai ekonomi kepada seluruh penduduk. -EDISI UKAS

Share

add comment