Jabatan Penerangan Turun Padang Galak Masyarakat Daftar Program Imunisasi Secara Manual

JUMAAT, 26 MAC 2021

MUKAH: Dalam usaha menggalakkan orang ramai mendaftar program imunisasi, Jabatan Penerangan Mukah melalui inisiatif ‘Info On Wheel’ telah mengadakan program pendaftaran secara manual di Pasar Mukah pada Khamis.

Menurut Pegawai Penerangan Mukah, Syahrulizan Madian ketika ditemui UKAS, program itu merupakan pendekatan pihaknya dalam menggalakkan masyarakat di Mukah untuk mendaftar secara manual inisiatif kerajaan itu.

“Dengan mengadakan di tempat terbuka seperti ini, sebenarnya kita memberikan peluang.

“Walaupun ada yang sudah mendaftarkan dengan MySejahtera, tetapi, dengan pendaftaran manual ini, kita dapat mengumpul lebih banyak maklumat daripada masyarakat yang mungkin sebahagiannya tidak jelas bagaimana, apakah proses yang dilakukan untuk mereka diterima sebagai penerima vaksin.

“Jabatan Penerangan mengambil pendekatan hadir di kawasan orang ramai supaya masyarakat lebih memahami apakah tanggungjawab yang mereka lakukan tentang dasar imunisasi kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama daripada masyarakat akan diteruskan sehingga tamat pendaftaran vaksin tersebut.

Tambah beliau, program itu juga bertujuan memberi fakta dan menepis dakyah berkenaan berita-berita palsu yang cuba dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kepada masyarakat. – EDISI UKAS

Share

add comment