JPBB Miri Lancar 4 Video Promosi Vaksin COVID-19 Dalam Pelbagai Bahasa

JUMAAT, 26 MAC 2021

MIRI: Sebanyak empat video promosi vaksin COVID-19 telah dilancarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada Khamis.

Menurut Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dalam kenyataan media, keempat video itu dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Iban.

“Video itu menampilkan empat individu yang sinonim dan penting bagi masyarakat di Bahagian Miri iaitu Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin, Pakar Perubatan AM Hospital Miri Dato’ Dr. Fam Tem Lom, bekas Pegawai Kesihatan Miri yang pernah berkhidmat di Miri sejak tahun 1983 hingga 2014 dan bekas pelari pecut negara Watson Nyambek,” katanya. 

Tambah Abdul Aziz yang juga Pemangku Residen Miri, video ini dilancarkan bagi memberikan maklumat mengenai kepentingan mendapatkan vaksin COVID-19 dan maklumat umum mengenai vaksin tersebut yang dijangka akan mula diberikan kepada orang ramai melalui Program Vaksinasi COVID-19 Fasa 2 dan yang akan bermula pada April ini. 

Sehubungan itu, JPBB Miri mengingatkan orang ramai agar mendaftarkan diri untuk menerima vaksin COVID-19 segera melalui aplikasi MySejahtera atau melalui empat kaedah lain seperti disarankan JPBB Miri sebelum ini bagi mengelakkan mereka daripada keciciran. -EDISI UKAS

Share

add comment