Kerajaan Sarawak Lulus RM13 Juta Bagi Projek RES Last Mile Fasa 3 Di Nanga Ensiring, Sg Masit & Bukit Seri, Julau

JUMAAT, 26 MAC 2021

MELUAN: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta bagi melaksanakan projek RES Last Miles Fasa 3 di Ensiring, Masit dan Bukit Seri, Julau.

Projek ini merupakan salah satu projek dibawah Projek Rakyat bagi mencapai elektrifikasi sepenuhnya di seluruh Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, beliau berharap projek tersebut akan memberi manfaat sepenuhnya kepada komuniti setempat.

Beliau memohon semua penduduk yang terlibat dengan projek ini khususnya pemilik tanah yang berkenaan untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya agar projek ini berjalan dengan lancar.

Jelasnya, fokus beliau adalah untuk meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog dengan penduduk Ensiring Masit Dan Bukit Seri, Julau pada Khamis.

Sementara itu, Tuai Rumah Jawang Janting mewakili penduduk setempat mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Rolland Duat yang sangat prihatin dengan keperluan penduduk luar bandar.

Beliau berharap projek bekalan elektrik itu nanti akan meringankan beban penduduk rumah panjang yang selama ini mendapatkan bekalan elektrik menggunakan genset dengan kos yang sangat tinggi. –EDISI UKAS

Share

add comment