Kerjasama KMKK Dan JKKK Penting Pacu Pembangunan Sosioekonomi Sesebuah Kampung

JUMAAT, 26 MAC 2021

LIMBANG: Kerjasama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting dalam memacu pembangunan sosioekonommi sesebuah kampung.  

Perkara ini disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang selepas melawat Pengerusi JKKK yang juga Ketua Kampung Tubai Baru Yusop Siran pada Rabu. 

Ujar Paulus lagi, beliau berharap Ketua Kampung Tubai Baru yang baru dilantik pada 1 Mac 2021 akan dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan secara telus ke arah pembangunan dan kemajuan kampung.

Dalam pertemuan itu, Paulus telah meluluskan geran berjumlah RM10,000 kepada JKKK Kampung Tubai Baru bagi melaksanakan aktiviti dan program kemasyarakatan dan keperluan kebajikan penduduk kampung.

Turut diumumkan juga persetujuan beliau untuk mempertimbangkan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Raya Masuk ke Simpang Kampung Tubai Baru sejauh 7 km.  

Setakat ini projek menyimen dari jalan simpang masuk ke kawasan kampung sedang dilaksanakan sepanjang 800 meter di bawah peruntukkan Malaysia Road Record Information System (MARRIS).

Hadir sama Ketua Pemuda PBB DUN Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu, Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jangan Bakar, Pegawai Khas ADUN Batu Danau Jimmy Ngindang Bau dan Ketua Ranting PBB Cawangan Medamit Franky Mullen Raja. -EDISI UKAS

Share

add comment