Ketua Menteri Terima Dua Kunjungan Hormat

JUMAAT, 26 MAC 2021

KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Jumaat menerima dua kunjungan hormat di pejabat beliau Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Kunjungan pertama daripada Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mohd Shahabuddin Omar, ditemani Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Norizan Jili.

Pertemuan tersebut adalah bersempena persaraan Datuk Mohd Shahabuddin pada 3 April ini, setelah berkhidmat hampir 2 tahun bermula 2019.

Semasa ditemubual media, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri diatas kerjasama, bantuan dan segala sokongan yang telah diberikan selama perkhidmatannya di negeri Sarawak.

Sejurus selepas itu, Ketua Menteri menerima kunjungan daripada pihak Maybank Islamic Berhad dan Tabung Baitulmal Sarawak untuk menyaksikan penyampaian zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020, berjumlah RM688, 419.40.

Penyerahan telah dilakukan oleh Pengurus Besar Maybank Wilayah Sarawak, Nasir Khan kepada Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, mewakili Tabung Baitulmal Sarawak.

Hadir sama di majlis ringkas tersebut adalah Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Menurut Datu Misnu, beliau amat bersyukur kerana setiap tahun pihaknya akan menerima zakat daripada badan-badan perniagaan seperti bank-bank untuk keperluan pembangunan ummah di Sarawak dan berharap usaha murni sedemikian dapat diteruskan. -EDISI UKAS

Share

add comment