MBM Sokong Kempen ‘Earth Hour’ 2021 Perubahan Iklim Untuk Menyelamatkan Dunia

JUMAAT, 26 MAC 2021

MIRI: Sejak beberapa tahun lalu, Majlis Bandaraya Miri (MBM) sentiasa menyokong dan mempromosikan perlindungan alam sekitar. 

Menurut Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dalam kenyataan media pada Khamis, Kempen ‘Earth Hour’ adalah salah satu aktiviti yang selalu disokong dan dipromosikan kepada masyarakat awam di Miri.

“Masyarakat di Bandaraya Miri diminta untuk mematikan lampu elektrik yang tidak penting pada Sabtu, 27 Mac 2021 dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam sebagai komitmen dalam menyokong Kempen Earth Hour

“Ini adalah acara tahunan yang diadakan di seluruh dunia dengan tema tahun ini adalah ‘Perubahan Iklim Untuk Menyelamatkan Dunia’,” katanya. 

Adam Yii turut memberitahu Earth Hour ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi alam semulajadi bukan hanya untuk memerangi krisis iklim, tetapi juga untuk memastikan kesihatan, kebahagiaan, kemakmuran dan keselamatan kita sendiri.

Dalam menyokong acara ini, MBM melalui Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar Hijau mengalu-alukan orang ramai mengambil bahagian dan membantu memperkuat misi menyatukan masyarakat untuk melindungi planet ini daripada kemusnahan dan kerosakan. -EDISI UKAS

Share

add comment