Pejabat Wanita dan Keluarga Sarawak Cawangan Dalat Miliki Premis Baru

JUMAAT, 26 MAC 2021

DALAT: Sebuah bangunan akan disewa untuk dijadikan Pejabat Wanita dan Keluarga Sarawak di Dalat.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, ketika ini pihaknya hanya menunggu kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan sewaan bangunan berkenaan.

Katanya, peruntukan telah diluluskan untuk kerja-kerja renovasi dan operasi di premis baru itu nanti.

“Kita telah memajukan permohonan untuk menyewa bangunan akan dijadikan Pejabat Wanita dan Keluarga Sarawak di Dalat. Khidmat, fungsi, kaunseling dan program yang dijalankan adalah sama sepertimana pejabat-pejabat di tempat lain.

“Tempat itu lebih kondusif, dan akan dijadikan tempat latihan untuk wanita dalam berbagai-bagai jenis latihan, membuat kek, membuat nasi lemak dan sebagainya sebagai asas untuk wanita menambahkan pendapatan isi rumah mereka,” katanya berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Ekonomi Wanita DUN Dalat di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Dalat baru-baru ini.

Berucap lanjut, beliau berkata bantuan ekonomi itu adalah daripada peruntukan Projek Kecil Luar bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM30,000.

Menurut beliau, jumlah bantuan itu dipecahkan mengikut permohonan dan bantuan berbentuk barang keperluan dan kelulusan oleh jawatankuasa.

Penerima adalah mereka yang belum pernah menerima mana-mana bantuan daripada mana-mana agensi dan bantuan berupa keperluan barangan seperti pengisar, oven dan sebagainya.

Seramai 30 orang penerima menerima bantuan untuk siri pertama itu manakala seramai 30 orang lagi untuk siri kedua. – EDISI UKAS

Share

add comment