Pembukaan Semula Sektor Spa, Pusat Kesihatan, Rumah Urutan Dan Karaoke Di Miri, Pengusaha Perlu Patuhi SOP

JUMAAT, 26 MAC 2021

MIRI: Pengusaha spa, pusat kesihatan, pusat urutan, refleksologi dan karaoke di Miri perlu patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah diminta untuk memaklumkan kepada semua pengusaha yang berdaftar dengan MBM bagi sektor-sektor tersebut mengenai SOP yang terkini seperti dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

“MBM akan keluarkan surat berserta dengan SOP kepada semua pengusaha tersebut. 

“Mereka perlu memohon kepada MBM untuk pemeriksaan premis dan jika memenuhi SOP yang digariskan, surat kelulusan akan dikeluarkan dan hendaklah dipamerkan di premis mereka. 

“Selain itu, bagi tujuan ujian rt-PCR, perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum perniagaan beroperasi (seperti digariskan dalam SOP), mereka digalakkan untuk berbuat demikian di fasiliti perubatan swasta supaya tidak membebankan fasiliti awam yang sekarang tengah fokus untuk kategori kontek rapat dan kategori Active Case Detection (ACD),” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memberitahu sehingga jam 12.00 tengah malam Jumaat, sebanyak 24 kes positif COVID19 dilaporkan daripada pusat membeli-belah.

“Daripada jumlah itu, 23 kes yang dikesan dalam kalangan pekerja pengurusan Permaisuri Mall (pembersihan, keselamatan dan penyelenggaraan) dan satu kes dikesan daripada pekerja premis kedai makan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, sebanyak 127,984 maklum balas telah diterima dan bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19 Fasa 2 Bahagian Miri yang merupakan 50 peratus daripada jumlah populasi penduduk berusia 18 tahun ke atas di Miri. -EDISI UKAS 

Share

add comment