Program ‘Siney Kitak Tok’ Ketengahkan Budaya Dan Seni Masyarakat Bisaya Kepada Masyarakat Luar

JUMAAT, 26 MAC 2021

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang telah berkesempatan melawat sesi penggambaran seni dan budaya masyarakat Bisaya di Kampung Tanjong Riman pada Rabu. 

Menurutnya, seni dan budaya tradisional masyarakat Bisaya membawa makna dan mempunyai implikasi tertentu mengikut amalan serta kepercayaan pada zaman dahulu. 

“Namun kini diakui bahawa terdapat perubahan nilai dan seni ini mengalami asimilasi budaya seperti aksesori yang terdapat pada pakaian tradisional Bisaya.

“Menerusi segmen seni dan budaya masyarakat Bisaya akan memberi lebih banyak pengetahuan dan maklumat kepada orang ramai berkaitan budaya masyarakat Bisaya yang selama ini kurang diketahui atau telah berlakunya perubahan disebabkan keadaan semasa,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Program Penggambaran Seni dan Budaya Masyarakat Bisaya di Kampung Tanjong Riman. 

Penggambaran yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Mac itu merupakan kerjasama di antara Persatuan Kebudayaan Masyarakat Bisaya bersama krew RTM Kuching dan Jawatankuasa Kebajikan dan Sosioekonomi Masyarakat Bisaya. 

Sepanjang sesi penggambaran program itu telah memberi fokus kepada amalan adat tradisi, seni dan budaya masyarakat Bisaya Limbang seperti jenis-jenis makanan tradisional masyarakat Bisaya, mini pameran barangan dan peralatan lama tradisional, pakaian tradisional bersama aksesori dan seni tari tradisonal serta persembahan muzik tradisional. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Bisaya Temenggong Nicholas Buyok Pura, Penghulu Ekit Awang, Penghulu Lalam Sambat, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu dan Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jangan Bakar. -EDISI UKAS

Share

add comment