Saluran Wifi Sementara Akan Dipasang Di 200 Kawasan Di Sekitar Asajaya

JUMAAT, 26 MAC 2021

ASAJAYA: Saluran Wifi Sementara (WS) menerusi inisiatif Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan dipasang di 200 kawasan yang sering mengalami masalah rangkaian internet di Asajaya termasuk di Kampung Sambir.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, saluran WS akan disiapkan tidak lama lagi bagi membolehkan kerja-kerja penyambungan kekal di menara telekomunikasi disiapkan.

Jelas beliau, projek WS merangkumi pemasangan Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT) ke kawasan pedalaman sebagai penyelesaian interim untuk projek pembinaan 300 menara telekomunikasi pertama di seluruh negeri.

“Kerajaan Sarawak menyasarkan liputan internet ke seluruh negeri menjelang 2025. Setakat ini kerajaan negeri telah membina lebih 170 menara telekomunikasi daripada 300 menara di bawah projek SMA,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Wifi Saluran dan Sesi Taklimat Telekomunikasi Di Bahagian Samarahan di Dewan Masyarakat Kampung Sambir pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga telah memohon kepada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia untuk memberikan lesen kepada Sarawak bagi membolehkan kerajaan negeri membangunkan perkhidmatan internet jalur lebar di kawasan tertentu.

“Saya juga telah berbincang dengan pihak Telekom Malaysia (TM) dan SMAbagi memperluaskan lagi kabel gentian optik.

“Kabel telekomunikasi rangkaian jarak jauh ini akan diperluaskan di Bahagian Samarahan terutama bahagian pesisir termasuk daerah Asajaya dalam usaha menyelesaikan masalah jaringan perkhidmatan jalur lebar terutama di kawasan Sambir,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment