Sarawak Penyumbang Tertinggi Liputan Hutan Di Malaysia

JUMAAT, 26 MAC 2021

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata dasar hutan antarabangsa iaitu Forest Restoration: A Path To Recovery Well-Being yang disambut pada tahun ini amat bertepatan sekali. 

Katanya, dengan adanya dasar ini akan menggalakkan masyarakat menjaga hutan bagi generasi akan datang. 

“Sebenarnya Sarawak adalah merupakan penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di Malaysia dengan kadar peratusan sebanyak 42 peratus atau 7.7 juta hektar daripada keseluruhan negara Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2021 yang diadakan di Taman Tasik Bukit Siol Kuching pada Jumaat.

Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, dengan peratusan tertinggi liputan hutan ini membolehkan Malaysia berjaya mengekalkan kehijauan hutannya di dunia. 

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Sarawak telah meluluskan RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak bagi aktiviti penanaman semula pokok dalam usaha membaik pulih hutan dan landskap di negeri ini. 

“Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM62 juta melalui Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12) kepada Jabatan Hutan Sarawak.

“Ini untuk kita membuat aktiviti penanaman semula pokok dan ia adalah untuk membaik pulih keadaan hutan dan juga landskap kita,” ujarnya. 

Untuk itu, Sarawak menyasarkan 1 juta hektar untuk ditanam dengan pelbagai spesis pokok komersial melalui pembangunan hutan industri menjelang tahun 2025.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad. -EDISI UKAS

Share

add comment