Sarawak Sasar Tanam 35 Juta Pokok Menjelang Tahun 2025

JUMAAT, 26 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia (KeTSA) telah melancarkan Kempen Penghijauan Malaysia pada 5 Januari 2021 yang mensasarkan penanaman 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025.

Menurut Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datu Hamden Mohammad, Sarawak menyasarkan dapat menaman 35 juta pokok menjelang tahun 2025. 

“Kita yakin dapat mencapai sasaran ini kerana pada tahun 2020, Sarawak telah berjaya menanam sebanyak 10.4 juta pokok. 

“Pada tahun ini, sehingga 26 Mac 2021 sahaja, kita telah menanam sebanyak 3.15 juta pokok dan telah menduduki tangga teratas bagi carta penanaman oleh semua negeri di Malaysia dalam menjayakan kempen tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2021 yang diadakan di Taman Tasik Bukit Siol Kuching pada Jumaat. 

Datu Hamden turut memberitahu, JHS telah menerima peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4 juta untuk pelaksanaan Kempen Penghijauan Malaysia pada tahun ini dan menerima RM300,000 daripada Sarawak Energy berhad (SEB) untuk program restorasi di Batang Ai. 

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. -EDISI UKAS

Share

add comment