CITF Daerah Mukah Bergotong-Royong Siapkan Pusat Pemberian Vaksin

SABTU, 27 MAC 2021

MUKAH: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Mukah telah bergotong-royong untuk menyiapkan Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Suarah Mesra Mukah.

Menurut Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, gotong-royong itu terdiri daripada Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Mukah dan agensi-agensi lain di Mukah.

“Di Bahagian Mukah kita gunakan lima pusat vaksinasi iaitu Dalat digunakan Daerah Dalat di Stadium Perpaduan Dalat, Daerah Matu Dewan Suarah Matu, Daerah Daro di Dewan Masyarakat Daro dan Daerah Tanjung Manis di Dewan Masyarakat Belawai.

“Data yang telah kita ambil umur 18 tahun ke atas masih data kasar, akan diperhalusi oleh Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan masing-masing.

“Setakat ini kita menerima seramai lebih 70 ribu orang atau 84 peratus daripada penduduk bahagian Mukah,” katanya bercakap kepada UKAS semasa meninjau program gotong-royong itu pada Sabtu.

Justeru itu, beliau berharap orang ramai yang telah dijadualkan oleh Jabatan Kesihatan untuk mengikut jadual yang telah diberikan untuk menerima vaksin.

Sementara itu, Pegawai Daerah Mukah merangkap Pengarah CITF Daerah Mukah, Shafrie Saili berkata pusat pemberian vaksin di Dewan Suarah itu akan siap sepenuhnya pada minggu hadapan.

Katanya, fasa kedua pemberian vaksin dijangka akan bermula pada pertengahan April depan dengan bilangan yang dijangkakan seramai 400 orang sehari.

Beliau juga berharap program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin secara manual di pejabat Daerah Mukah, pendaftaran di Pejabat Kesihatan Mukah atau melalui MySejahtera. – EDISI UKAS

Share

add comment