Daerah Sebauh Akan Terus Menikmati Pembangunan Berterusan Menerusi Pelbagai Projek Pembangunan

SABTU, 27 MAC 2021

SEBAUH: Daerah Sebauh akan terus mengalami perubahan lanskap infrastruktur berterusan melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang sedang giat dilakukan Kerajaan Sarawak.

Menurut Menteri Utiliti Sarawak Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, rakyat di kawasan tersebut bakal menikmati kemudahan asas dan perhubungan yang sistematik apabila pembinaan Jambatan Sebauh, Jalan Kampung Hilir, Jalan Pandan Fasa 2 dan Jalan Ulu Pandan siap kelak. 

“Beberapa projek cadangan yang kini dalam penyelenggaraan seperti stadium mini, Tebingan Sebauh, masjid dan gereja. 

“Pejabat Daerah Sebauh telah mengenal pasti lokasi bagi projek-projek terbabit.

“Kini, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Negeri untuk meneruskan projek-projek tersebut yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Sarawak sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan Projek Kecil Luar Bandar  (MRP) – Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Hulu Sebauh, Skim Penempatan Semula Sebauh serta Rumah Mebak Aji, pada Jumaat. 

Datuk Sri Dr Stephen Rundi yang juga AHli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menambah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah meluluskan Projek Pembinaan Fasa 2 Jalan Ulu Pandan yang mana sudah pun ditender. 

“Ini adalah antara beberapa pembangunan yang telah kita lakukan di kawasan Sebauh,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau telah berpuas hati terhadap penyelenggaraan MRP-PPRMS yang disifatkan mematuhi tempoh jadual siap kerja. 

Bagaimanapun, jelasnya lagi terdapat banyak elemen yang perlu diperbaiki dalam projek tersebut.

Hadir sama Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Pemanca Limin Anai dan Penghulu Lee Lei Seng. -EDISI UKAS

Share

add comment