Dato Sri Nancy Shukri & Aidel Lariwoo Terima Dos Kedua Vaksin COVID-19

SABTU, 27 MAC 2021

SADONG JAYA: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya, Aidel Lariwoo menerima dos kedua vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Sadong Jaya pada Sabtu.

Kedua-dua wakil rakyat tersebut sebelum ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 6 Mac lepas.

Sementara itu, Dato Sri Nancy menggesa masyarakat di Parlimen Batang Sadong supaya tidak takut untuk menerima vaksin kerana beliau juga sudah menerima suntikan vaksin bagi kali kedua.

Beliau juga menasihatkan agar penduduk setempat tidak mendengar apa-apa pandangan negatif mengenai pemberian vaksin COVID-19.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengambil vaksin COVID-19 ini agar dapat menghindari diri, keluarga dan komuniti daripada dijangkiti virus merbahaya ini,” katanya.

Aidel Lariwoo dalam pada itu turut menyeru rakyat di kawasan berkenaan agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Katanya, mereka boleh mendaftar dengan menggunakan aplikasi MySejahtera selain menerusi pendaftaran secara manual menerusi ketua kaum masing-masing. -EDISI UKAS

Share

add comment