Institut Koperasi Malaysia Akan Dinaik Taraf Sebagai Pusat Pendidikan Tinggi

SABTU, 27 MAC 2021

LUNDU: Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan dinaik taraf menjadi sebuah pusat pendidikan tinggi tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri (Dr) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, salah satu agendanya adalah untuk menangani isu ‘skills mismatch’ yang dihadapi oleh graduan pengajian tinggi dengan kehendak industri.

“Dalam jangka masa panjang, diharapkan isu pengangguran di kalangan graduan dapat dikurangkan,” ujarnya semasa Program Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (Maskop) Lundu di Dewan Mahligai Gading pada Sabtu.

Turut hadir ialah, ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Dato Suriani Ahmad, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sarawak, Basuni Ali, Residen Bahagian Kuching, Sherrina Hussaini dan Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani.

Dato Sri Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, peranan koperasi perlu diperkembangkan dan tidak hanya bertujuan memberikan pinjaman kepada ahli-ahlinya semata-mata.

Katanya, IKM berperanan dalam membantu koperasi untuk mengembangkan sayapnya di seluruh negara melibatkan golongan profesional bagi membawa koperasi ke tahap yang lebih tinggi serta menceburi peluang-peluang perniagaan yang baharu.

“Ahli-ahli koperasi yang sedia ada juga janganlah gentar dengan penyertaan ahli koperasi yang baru dan jauh lebih muda. Ini kerana golongan tersebut mampu untuk membawa perubahan dalam koperasi.

“Sebagai contoh di daerah Lundu, penglibatan golongan muda dan profesional dalam koperasi seiring dengan perkembangan dalam industri pelancongan tempatan, produk baru yang lebih terkini dapat dihasil dan diperkenalkan. Melalui usaha inilah ianya dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Malah jelasnya, bagi memasyarakatkan koperasi, tumpuan hendaklah diberikan kepada perniagaan-pernigaan yang mempunyai impak berganda.

“Hasilnya hendaklah dinikmati oleh semua pihak termasuk ahli biasa dan masyarakat sekeliling,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment