Lindungi Dan Kekal Kualiti Sumber Air Untuk Generasi Akan Datang

SABTU, 27 MAC 2021

KUCHING: Sumber bekalan air di negeri ini perlu dilindungi untuk memastikan tahap kualiti sumber air kekal terjamin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, untuk menguruskan sumber air bukan mudah, jadi kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi melindungi sumber air dalam tempoh masa panjang.

Berucap dalam Program Gotong Royong sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021 di Kampung Rantau Panjang pada Sabtu, beliau yang juga ADUN Batu Kawah memberitahu, usaha memelihara sumber air mesti bermula daripada penduduk itu sendiri.

“Jadi kita mesti mengambil berat mengenai kepentingan kualiti sumber air untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah ADUN Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang  dan Timbalan Pengerusi MPP, Datuk Ahmad Ibrahim.

Tambah Dr Sim, air merupakan sumber kehidupan yang merangkumi isi rumah, makanan, budaya, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan persekitaran semula jadi.

Dalam pada itu, beliau bersama penduduk setempat telah bergotong royong membersihkan kawasan sekitar Kampung Rantau Panjang. -EDISI UKAS

Share

add comment