Masyarakat Penan Diminta Untuk Tidak Terpengaruh Berita Palsu Mengenai Vaksin COVID-19

SABTU, 27 MAC 2021

BARAM: Masyarakat Penan diminta untuk tidak terpengaruh dengan berita palsu yang tersebar luas di media sosial bahawa pengambilan vaksin COVID-18 adalah merbahaya. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, hanya dengan pengambilan vaksin COVID-19 akan dapat memutuskan rantaian jangkitan pandemik COVID-19. 

“Penyakit ini masih hidup dan itu sebabnya kita datang pakai pelitup muka sebab tidak tahu di antara kita ini siapa yang membawanya. Inilah masalah penyakit ini. 

“Kalau penyakit malaria dan penyakit Rabies kita tahu puncanya, tetapi penyakit COVID-19 ini tidak. Bila-bila masa ia boleh menjangkiti kita termasuk saya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Kesihatan Program Vasinisasi COVID-19 di Kampung Long Latei, Baram pada Khamis. 

Sementara itu, Setiausaha Long Latei Simon Laing ketika ditemui berkata, taklimat pengambilan vaksin COVID-19 sangat penting dan menggesa masyarakat Penan untuk mendaftar dan mengambil vaksin COVID-19.

“Secara peribadi memang saya mahu menerima vaksin COVID-19 ini. Untuk itu, saya menggesa kepada masyarakat Penan untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 ini. 

“Ini selepas mendengar taklimat yang disampaikan wakil rakyat Dennis Ngau, Dr. Samuel Wong dan Ezra Uda,” katanya. 

Manakala, Ketua Kampung Long Leng Maister Lolee meminta masyarakat Penan untuk tidak takut mengambil vaksin COVID-19 dan tidak mendengar berita palsu berkenaan dengan vaksin COVID-19 ini. 

“Saya berpesan kepada kampung-kampung lain terutamanya kepada semua masyarakat Penan jangan takut terima vaksin COVID-19 ini dan saya harap mereka yang terima berita yang tidak betul, jangan terima,” katanya. 

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Telang Usan SAO Mike Arthur Nakabok, Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Long Lama Dr. Samuel Wong dan Pegawai Perhubungan Penan Ezra Uda. -EDISI UKAS

Share

add comment