Produk Masakan Warisan Simunjan Boleh Jana Pendapatan Penduduk: Dato’ Nancy Shukri

SABTU, 27 MAC 2021

SIMUNJAN: Produk masakan warisan Simunjan mempunyai nilai warisan budaya yang boleh menjadi tarikan produk pelancongan baru di daerah itu.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri berkata, masakan warisan tersebut dapat  merancakkan kegiatan ekonomi dan menjana pendapatan penduduk menerusi aktiviti pelancongan.

“Kita mahu membantu rakyat kita mewar-warkan, boleh untuk menyertai dalam aktiviti ekonomi di kawasan Simunjan dan selain daripada itu mereka juga akan boleh menyebarkan ke luar kawasan Simunjan, Sarawak dan seluruh Malaysia.

“Jadi kita menggalakkan semua pihak untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan dan aktiviti ekonomi dalam negara kita,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Program Pertandingan Resipi Warisan Batang Sadong Peringkat Akhir di Dewan Mesra Simunjan pada Jumaat.

Dato’ Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu, resepi-resepi masakan warisan tersebut juga akan dibukukan untuk menjadi rujukan terutamanya kepada generasi muda supaya resepi warisan tidak pupus.

“Ini permulaannya kerana kita nak melatih supaya bukan sahaja yang berada dalam dewan ini, kita mahu bila kita terbitkan buku, buku tersebut akan menjadi rujukan kepada orsng lain, rujukan kepada generasi muda supaya resepi warisan kita tidak akan pupus,” ujar Dato Sri Nancy lagi. – EDISI UKAS

Share

add comment