Projek Bekalan Elektrik Beri Manfaat Kepada Kira-Kira 90 Keluarga Di Mupong

SABTU, 27 MAC 2021

SEMOP: Penduduk di Mupong kini boleh menarik nafas lega selepas projek bekalan elektrik di kawasan itu telah siap sepenuhnya.

Projek bekalan elektrik itu akan memberi keselesaan kepada lebih kurang 90 keluarga di kawasan tersebut.

Semasa mengadakan lawatan kerja di situ pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol mewakili penduduk Mupong merakamkan penghargaan kepada Jurutera Elektrik Sarawak Energy Berhad (SEB), Mohammad Zaki dan rakan sekerjanya yang telah bertungkus-lumus menyiapkan projek itu dengan jayanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak turut menyampaikan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa JKKK Rumah Panjang dan PIBG yang berjumlah RM37,000.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk projek penyambungan jalan sepanjang lebih kurang satu kilometer ke arah penempatan di Mupong.

Beliau turut melawat tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membina baru padang simen serbaguna yang bernilai RM200,000 dan akan dibina dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Jurutera JKR Bahagian Sarikei, Frasser George Michael yang turut serta dalam lawatan itu berkesempatan meninjau tujuh jeti usang di sekitar Mupong bagi membuat penilaian teknikal dan cadangan pembinaan jeti baharu dengan anggaran kos sebanyak RM300,000.

Penolong Jurutera DID Bahagian Sarikei, Husaini Ahie pula memaklumkan permohonan untuk membina sambungan jalan ban di Semaring akan dilaksanakan dengan peruntukan lebih kurang RM400,000.

Pada lawatan itu, Abdullah berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada empat mantan tuai rumah bagi mengenang jasa dan perkhidmatan mereka.

Beliau turut memperingatkan setiap yang hadir agar segera mendaftar dengan MySejahtera bagi tujuan suntikan vaksin dan sentiasa memastikan agar langkah-langkah pencegahan COVID-19 diawasi dan dipatuhi. – EDISI UKAS

Share

add comment