Sarawak Akan Labur Dalam Penanaman Semula Pokok Selepas Pandemik COVID-19 Berakhir

JUMAAT, 27 MAC 2021

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu Kerajaan Sarawak akan melabur dalam menanam semula pokok selepas pandemik COVID-19. 

Menurutnya, menerusi penanaman semula pokok-pokok yang berharga dan mempunyai pasaran tinggi akan membantu industri perkayuan negeri pada masa akan datang. 

“Ingin saya nak kongsi di sini dalam dasar kita selepas pandemik ini, kita akan melabur untuk menanam semula pokok-pokok yang telah ditebang dengan pokok yang boleh tumbuh dengan cepat dan menjadi bahan untuk industri perkayuan ataupun hiliran di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2021 yang diadakan di Taman Tasik Bukit Siol Kuching pada Jumaat.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menjadikan Taman Awam Bukit Siol di Petra Jaya sebagai kawasan Hutan Simpan Diwartakan. 

“Kerajaan Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk kawasan ini menjadi Hutan Simpan Diwartakan. 

Kita akan transformkan kawasan ini menjadi hutan simpan semulajadi di dalam bandar. Kita ada di Stutong dan ini pula di Petra Jaya. 

“Tempat ini sangat sesuai dengan tasiknya dan kita lihat tempat ini akan menjadi suatu kawasan hutan simpan dengan pelbagai jenis pokok termasuklah buluh,” tambahnya. 

Ujarnya lagi, jika kawasan ini dibangunkan dengan baik saya rasa kawasan ini lebih baik berbanding Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ada di Kuala Lumpur. 

Pada majlis itu, Jabatan Hutan Sarawak telah menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) dengan Sarawak Energy Berhad (SEB), Sime Darby Plantation (SDP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan mewujudkan kerjasama dalam aspek restorasi dan konservasi alam sekitar terutama di kawasan tadahan air dan penyelidikan. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad. -EDISI UKAS

Share

add comment