Sarawak Bakal Miliki Skim Pembesaran Kampung Kawasan Pesisir Yang Moden

SABTU, 27 MAC 2021

ASAJAYA: Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Sarawak khususnya di kawasan pesisir bakal menjadi skim perumahan yang moden apabila ia siap kelak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, skim pembesaran kampung tersebut menggunakan pendekatan baharu kepada spesifikasi yang telah ditambahbaik berbanding skim-skim sebelum ini yang dilengkapi.

Ujar beliau, ia akan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti kemudahan jalan berturap, parit konkrit dan lot-lot yang ditembok yang mana kos-kos pembinaan infrastruktur tersebut ditanggung oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan penduduk hanya perlu membayar untuk membina unit rumah tersebut sahaja.

“Kos bagi menyediakan kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya, lampu jalan, saliran dan menimbus tanah bagi satu lot adalah bernilai RM193,000 dan ianya ditanggung oleh kerajaan GPS.

“Rumah ini adalah rumah dua tingkat dengan kos sebenarnya adalah RM180,000 bagi satu unit.

“Jadi kalau dari sudut harga RM193,000 untuk satu lot tanah, campur rumah RM180,000 jadi keseluruhannya adalah RM373,000 termasuk dengan keluasan tanah sebanyak 10 poin.

“Walaupun kos mencecah RM373,000 namun penduduk hanya perlu membayar sebanyak RM120,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung Sambir di Asajaya, Samarahan pada Sabtu.

Ketua Menteri turut memberitahu, Kerajaan Sarawak akan menambah 50 unit rumah lagi menjadikan sebanyak 100 unit rumah akan dibina di SPK tersebut.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah,Kerajaan Negeri juga melalui Mutiara Mortage dan Credit Sdn Bhd akan terus membantu untuk membiayai kemudahan pinjaman kepada penduduk-penduduk kampung khususnya di Skim Pembesaran Kampung Sambir.

“Pinjaman untuk beli rumah boleh meminjam dilakukan kepada  Mutiara Mortgage And Credit Sdn Bhd.

“Mungkin bayar RM100 lebih sebulan tapi nilai harta dalam tangan adalah sebanyak RM373,000,” jelasnya lagi.

Sementara itu, dalam majlis sama, Menteri Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak dan Menteri Belia & Sukan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Hamzah ketika berucap berkata, Skim Pembesaran Kampung Sambir ini akan menyediakan sebanyak 269 lot kediaman, cottage industry dan sebagainya dengan anggaran kos sebanyak RM 45 juta.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri; Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS

Share

add comment