Timba Pengalaman Untuk Pergi Lebih Jauh, Capai Kejayaan Dalam Bola Sepak

SABTU, 27 MAC 2021

MUKAH: Pemain yang mewakili Mukah pada Kejohanan Bola Sepak Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun harus menggunakan pentas itu menimba sebanyak mungkin pengalaman.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, kalah dan menang bukan ukuran tetapi yang mustahak adalah pengalaman kerana ia boleh membantu pemain pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak dan meraih kejayaan.

Beliau juga menekankan pentingnya semua pemain mengekalkan semangat berpasukan sepanjang penglibatan dalam kejohanan tersebut.

Yussibnosh berkata demikian semasa berucap ringkas pada majlis penyerahan jersi Mukah U25 Liga SSC/FAS 2021 di Stadium Mukah baru-baru ini.

Pada majlis ringkas itu, beliau menyumbangkan sebanyak RM5000 bagi membantu skuad Mukah U25 dalam kejohanan ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Penasihat Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA), Shafrie Saili mengingatkan pemain untuk sentiasa mengekalkan disiplin baik di dalam mahupun di luar padang.

Presiden MuFA, Azhar Bakar pula mengharapkan pemain skuad itu mengulangi kejayaan Mukah menjuarai saingan Piala Sarawak 30 tahun lepas.

Manakala Pengurus Pasukan, Royston Valentine menegaskan pemain skuad itu telah bersedia 100 peratus untuk mengharungi kejohanan itu dan yakin dengan kemampuan jurulatih membawa cabaran Mukah kali ini.

Skuad Bawah 25 Tahun Mukah akan ke Miri untuk menghadapi perlawanan pertama Zon Utara menentang Miri FA hari ini di Stadium Miri.

Kejohanan tersebut merupakan kolaborasi pertama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Liga ini dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Selatan yang terdiri daripada Kuching, Serian, Samarahan dan skuad Piala Presiden Sarawak United II.

Zon Tengah pula ialah Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Sri Aman manakala Zon Utara terdiri daripada Mukah, Bintulu, Miri.

Juara dan naib juara setiap zon akan layak ke pusingan seterusnya yang membabitkan enam buah pasukan. Mereka akan bersaing secara karnival di Bintulu. – EDISI UKAS

Share

add comment