Vaksinasi COVID-19: 108 Individu Terima Dos Kedua, 264 Individu Terima Dos Pertama Di Serian

SABTU, 27 MAC 2021

SERIAN: Seramai 372 individu yang terdiri daripada petugas agensi barisan hadapan menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Masyarakat Serian pada Sabtu.

Pegawai Perubatan Bahagian Serian, Dr Edmund Shin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 108 individu menerima dos kedua vaksin berkenaan, manakala 264 individu lagi menerima vaksin bagi dos pertama.

Katanya, para penerima dos pertama itu terdiri daripada pegawai dan kakitangan di Pejabat Residen Bahagian Serian, Pejabat Daerah Serian, Pejabat Daerah Tebedu termasuk Pejabat Daerah Kecil Siburan.

“Manakala selebihnya adalah warga guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Serian,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Sabtu.

Sementara itu, beliau menggesa masyarakat di Serian mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Mysejahtera atau secara manual di Klinik Kesihatan yang berdekatan,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment