Ahli PVATM Cawangan Balai Ringin Perkasa Prinsip 4T, 3K, 2D

AHAD, 28 MAC 2021

BALAI RINGIN: Semua ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Balai Ringin digesa terus memperkasakan Prinsip 4T, 3K dan 2D dalam amalan tadbir urus persatuan tersebut.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak merangkap ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, prinsip tersebut adalah 4T (Teguh, Tegas, Tegap, Bersatu) 3K (Kaul (hubungan yang baik), Komitmen, Kiroh (prihatin) dan 2D (Disiplin, Dedikasi)

Beliau juga menyarankan mereka menganalisa kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman atau dikenali dengan SWOT bagi membuat dan mengatur strategi yang betul dalam persatuan mahupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)

“Saya juga menyeru semua ahli PVATM Cawangan Balai Ringin serta penduduk setempat bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12),” katanya semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Balai Ringin dan Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Depo Balai Ringin pada Sabtu.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Doris Sophia Brodie dan Pegawai Tugas Khas Jabatan Ketua Menteri, Datuk Stephen Mundaw.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan menyempurnakan majlis pecah tanah di tapak cadangan bina baru Stadium Mini Balai Ringin pada 10 April ini.

Tambahnya, Pejabat Pentadbiran baharu akan dibina berdekatan dengan Pekan Balai Ringin selaras dengan cadangan untuk menjadikan Balai Ringin menjadi daerah kecil.

“Pembinaan klinik baru yang menelan belanja sebanyak RM44 juta sudah diluluskan dan akan dibina di Simpang Simunjan,”tambahnya.

Dalam program sama, beliau telah menyerahkan cek MRP berjumlah RM626,000 kepada 43 ketua kampung (pengerusi JKKK) dari kawasan Balai Ringin. -EDISI UKAS

Share

add comment