Dialog Imunisasi COVID-19 Perjelaskan Kewajaran Rakyat Mengambil Vaksin Untuk Lindungi DIri, Keluarga Dan Rakyat

AHAD, 28 MAC 2021

LIMBANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mengadakan sesi taklimat dan dialog berkenaan dengan vaksin COVID-19. 

Pegawai Hospital Bahagian Limbang Dr Nurul Aqma Ismail berkata, Program Imunisasi Kebangsaan dengan slogan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ ini bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 melalui vaksin bagi melindungi diri daripada wabak ini.

“Persediaan dari segi teknikal sedang giat dijalankan kerajaan. Pertama, taklimat dan latihan sedang giat diberikan kepada anggota yang terlibat. 

“Inilah yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lakukan sekarang iaitu sesi dialog berkenaan Imunisasi COVID-19 kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat Dialog Komuniti: Imunisasi COVID-19 Daerah Limbang pada Jumaat. 

Dalam taklimat itu, Dr Nurul Aqma telah menjawab beberapa persoalan yang diajukan oleh KMKK Daerah Limbang berhubung dengan Program Imunisasi COVID-19. 

Sehingga kini, KKM sedang melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas Barisan Hadapan KKM dan Bukan KKM bagi fasa satu sebelum fasa kedua dan ketiga dilaksanakan pada April 2021. 

Hadir sama wakil Pejabat Residen Bahagian Limbang AO Rosinah Matassan, wakil Pejabat Daerah Limbang AO Mohd Sobree Damit, wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mathias Charles Buas dan Temenggong Nicholas Buyuk Pura. -EDISI UKAS

Share

add comment