JPBN Sarawak Digesa Perketatkan Pergerakan Antara Bahagian Dan Henti Pekerja Asing Masuk Ke Bintulu

AHAD, 27 MAC 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak digesa mengetatkan pergerakan antara bahagian dan menghentikan  pekerja asing daripada memasuki Bintulu.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata, wujud kebimbangan ramai pekerja asing di Bintulu yang telah diuji positif COVID-19. 

“Apa yang lebih membimbangkan ialah pekerja asing ini boleh ke pelbagai tempat lain sebelum mereka memulakan kerja dalam sektor minyak dan gas di bahagian ini. 

“Mereka boleh menyebarkan virus itu dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat. 

Beliau mengetengahkan isu itu berikutan pengesanan tiga pekerja asing yang diuji positif COVID-19 ketika dilaporkan bekerja di sini baru-baru ini.

Dalam kenyataan sama, Datuk Sri Tiong yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China menyeru pihak polis untuk menguatkuasakan pemeriksaan lebih ketat dan mengadakan sekatan jalan raya bagi menghalang pekerja asing daripada memasuki Bintulu.

“Sekurang-kurangnya pekerja asing boleh menunjukkan kepada pihak polis yang mereka ini negatif COVID-19,” katanya lagi. 

Beliau turut menyarankan semua majikan atau ejen yang membawa pekerja asing ke negara ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mereka mesti memastikan pekerja mereka menjalani ujian saringan COVID-19 dan  kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan bekerja di sini,” tegasnya. 

Pada Khamis lalu, Bintulu mencatatkan 60 kes baharu positif COVID-19 Khamis lalu, 90 peratus daripadanya dikesan semasa aktiviti pengesanan kes aktif (ACD). -EDISI UKAS

Share

add comment