Kekalkan Amalan Hidup Sihat, Bebas Daripada Ancaman Dadah

AHAD, 28 MAC 2021

SEBUYAU: Masyarakat di kawasan Sebuyau perlu terus kekal membudayakan amalan hidup yang sihat dan bebas daripada ancaman dadah.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, peranan komuniti penting dalam menanamkan kesedaran berhubung bahaya penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, isu penyalahgunaan dadah tidak boleh ditangani secara berasingan kerana ia juga menuntut komitmen semua pihak.

“Program seminar ini juga untuk bertujuan supaya para ibu bapa tahu bahawa tanggungjawab bersama dalam usaha memerangi permasalahan dadah yang semakin mengancam di kalangan masyarakat.

“Selain itu, seminar sama menggalakkan masyarakat dan keluarga melibatkan diri dalam gaya hidup yang sihat,” katanya semasa Program Seminar Keluarga ” Keluarga Bersedia” di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Ahad.

Turut hadir ialah, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh, Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap dan Pegawai Tadbir Sarawak, Sebuyau, Ajis Ahmad.

Dalam pada itu, Datuk Julaihi memberitahu, generasi hari ini mesti membuat pilihan yang tepat dan menjalani kehidupan yang bebas dari segala gejala sosial.

Penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta turut disampaikan oleh Datuk Julaihi. -EDISI UKAS

Share

add comment