Masakan Warisan Sadong Jaya Bakal Jadi Aset Produk Pelancongan Baru

AHAD, 28 MAC 2021

SADONG JAYA : Sadong Jaya bukan sahaja kaya dengan nilai sejarah, seni kraf dan kepelbagaian budaya malah masakan warisan juga boleh menjadi aset kepada tarikan produk pelancongan baru di kawasan tersebut.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri, Pertandingan Masakan Warisan Sadong Jaya yang diadakan bertujuan mengenalpasti produk baru yang akan memberi nilai ekonomi sekaligus dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan.

“Untuk pengetahuan semua, pertandingan masakan warisan ini bukan diadakan sekadar untuk mencungkil bakat peserta tetapi sebenarnya, bertujuan mengenalpasti produk-produk baru yang akan memberi nilai ekonomi kepada seluruh penduduk di sini.”

“Monetizing” Atau ”Meng-wang”kan bakat dan kemahiran yang ada pada diri kita, untuk dijadikan sebagai hasil yang boleh menjana pendapatan dan ekonomi bukan sahaja untuk diri tetapi, seluruh masyarakat dan komuniti yang akan merasai limpahan manfaat ekonominya, insya allah.”katanya semasa berucap dalam Program Final Masakan Warisan Batang Sadong di Sadong Jaya pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, dengan penambahan infrastruktur yang telah dan akan siap nanti, Sadong Jaya bakal tersenarai sebagai sebuah lagi destinasi eko-pelancongan di negeri ini yang mesti dikunjungi.

“Kami telah berkerjasama melalui IRSDA dimana kita telah merancang dan telahpun diutarakan kepada IRSDA untuk menaiktaraf kawasan dimana kita tambah infrastruktur supaya ada ikon yang setanding dengan tempat-tempat lain dan menjadi tempat tumpuan untuk orang yang akan datang ke tempat kita.” tambahnya.

Antara projek quick-wins pelancongan yang telah diluluskan oleh agensi pelaksana adalah Projek Rnr Batang Sadong (Sungai Buloh), Projek Samarahan Boulevard, Projek Taman Tasik Desa Ilmu , Projek Danau Perupok Kampung Tekalong, Daerah Simunjan, Naiktaraf Taman Rekreasi Gunung Ngeli, Simunjan, Naiktaraf Taman Rekreasi Air Terjun Wong Muas Kepayang, Simunjan Dan Naiktaraf Tempat Perkelahan Sg Rian Kepayang, Simunjan.

Manakala beberapa lagi projek baru di bawah Pembangunan Pelancongan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) adalah Projek Tanam Santuari Herba Borneo Bahagian Samarahan, Projek Tanaman Herba Untuk Masakan (Pansuh), Projek Penanaman Herba Bagi Tujuan Masakan, Projek Pelancongan Sukan Dan Cadangan Gerai Bersepadu Jambatan Batang Sadong. -EDISI UKAS

Share

add comment