Masyarakat Digesa Main Peranan Pelihara Sumber Air

AHAD, 28 MAC 2021

DARO: Ketua-Ketua Masyarakat di Daro diseru untuk memainkan peranan menyampaikan kesedaran kepada penduduk di kampung masing-masing akan pentingnya menjaga sumber air daripada tercemar.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menegaskan kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu kerana sumber air yang bersih sangat penting untuk kehidupan manusia.

Jelasnya, Kampung Pangtray di Daro sangat bertuah kerana dipilih sebagai venue Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Bahagian Mukah yang turut diadakan serentak di seluruh dunia pada Sabtu.

Ini kerana ujarnya, sungai di kampung itu masih lagi bersih dan terpelihara sebagai sumber air bersih bagi kegunaan harian penduduk.

Berucap semasa Sambutan Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Bahagian Mukah di Daro pada Sabtu, Ahmad Johnie berkata kempen kesedaran menghargai air mesti dilakukan secara berterusan supaya masyarakat sentiasa sedar betapa pentingnya menjaga sumber air.

“Tema sambutan pada tahun ini iaitu Manghargai Air adalah amat tepat agar kita semua memainkan peranan masing-masing dalam penjagaan sumber air.

“Kawasan luar bandar seperti ini mungkin tidak terkesan secara kritikal jika berlaku pencemaran air berbanding kawasan bandar yang lebih banyak memerlukan air kerana terdapat banyak sektor perindustrian,” katanya.

Katanya, pengurusan sisa-sisa kumbahan daripada rumah dan industri juga amat penting bagi memastikan ekosistem sumber air tidak tercemar.

Malah Sarawak jelasnya juga telah memulakan sistem pengurusan sisa kumbahan industri untuk diproses dan digunakan semula.

Antara pengisian program adalah gotong-royong membersihkan Sungai Kampung Pangtray hingga Kampung Tengah Daro, penyerahan peralatan pertukangan kepada JKKK Kampung Pangtray dan pertandingan mengutip sampah . – EDISI UKAS

Share

add comment