AHAD, 28 MAC 2021
KUCHING: Sebanyak empat kluster COVID-19 di Sarawak telah diisytiharkan tamat pada Ahad.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, kluster yang tersebut ialah Kluster Rakut, Miri, Kluster Seruas, Beluru, Kluster Kejatau, Sri Aman dan Kluster Jan Yong, Kapit
“Hari ini sebanyak 32 kluster yang masih aktif. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8 kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes.
“ Manakala 24 kluster lagi tidak ada penambahan kes” katanya dalam sidang media di Kuching pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menambah, Daerah Tatau dan Pusa telah kembali ke status hijau daripada status kuning setelah masing-masing tidak merekodkan sebarang kes jangkitan tempatan dalam 14 hari yang lepas.
Seterusnya Daerah Song juga kembali ke status jingga daripada status merah setelah merekodkan hanya 35 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. -EDISI UKAS