Sarawak Mampu Jadi Pengeluar Tanaman Brokoli Dan Kembang Kol

AHAD, 28 MAC 2021

KUCHING : Sarawak mampu menjadi pengeluar tanaman brokoli dan kembang kol susulan kejayaan plot eksperimen di Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, brokoli dan kembang kol itu ditanam oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Pertanian Sarawak.

Jelas beliau, tanaman itu lebih segar dan mungkin lebih baik daripada yang diimport dari China dan Australia sekaligus membuka potensi besar untuk Sarawak mengeluarkan sendiri tanaman tersebut tanpa perlu mengimport dari negara luar.

“Ini adalah sayuran bernilai tinggi dan kami berharap dapat memindahkan penemuan kami ke sektor swasta.” katanya

Semasa mengunjungi Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok pada Ahad, Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah itu menambah, benih brokoli itu diambil dari Taiwan dan Jepun di mana ia dapat dituai dalam 75 hingga 81 hari setelah disemai.

Manakala untuk kembang kol pula, benih ia diperoleh dari tempatan dan Taiwan dan hasilnya boleh dituai dalam tempoh 69 hingga 90 hari. – EDISI UKAS

Share

add comment