Bersama Memelihara Alam Sekitar Untuk Generasi Akan Datang

ISNIN, 29 MAC 2021

LAWAS: Masyarakat perlu memelihara alam semulajadi agar ianya tidak tercemar yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk memastikan persekitaran alam semulajadi ini sentiasa terpelihara kesedaran dan tanggungjawab penting dalam memelihara sungai dan hutan. 

“Kita harus memelihara sungai kita agar tidak tercemar. Jika kita mencemarkan air akibatnya juga akan terkena kepada kita. Jangan biarkan sungai kita tercemar, kita sama-sama menjaga sungai kita. 

“Begitu juga peranan dalam memelihara keadaan persekitaran termasuk hutan. Jika hutan terhakis, tadahan air juga akan terkesan hingga menyebabkan banjir,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Gotong Royong Pembersihan Sungai Sempena Hari Air Sedunia di Kampung Undop, Ulu Merapok, Lawas pada Sabtu. 

Tambah Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, satu kerugian sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan terus diwakili pembangkang kerana banyak peruntukan tidak dapat disalurkan di kawasan ini.

“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengutamakan keperluan rakyat menjaga kebajikan rakyat, negeri ini stabil, aman damai dan masyarakat hidup bersatu padu dengan terus menyalurkan pembangunan di kawasan ini biarpun diwakili pembangkang. 

“Dahulu, kawasan ini tiada langsung kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, tetapi sekarang ini telah ada jalan raya dan jambatan serta bekalan elektrik yang pastinya memberi manfaat kepada penduduk setempat. 

“Inilah hikmah apabila rakyat terus bersama Kerajaan GPS untuk menikmati pembangunan yang berterusan,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, esiden Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Limbang, Ketua Kampung Undop Sairy@Sari Bandas dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) Daerah Lawas. -EDISI UKAS

Share

add comment