Golongan Belia Disaran Libatkan Diri Secara Aktif Dalam Sukan Elektronik

ISNIN, 29 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Golongan belia di Kota Samarahan khususnya di DUN Muara Tuang disaran agar melibatkan diri secara aktif dalam sukan elektronik atau e-sport.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang, sukan elektronik mampu menjadi platform mengasah bakat dan minda golongan belia semasa tempoh COVID-19.

Katanya lagi, penganjuran kejohanan sukan elektronik juga seiring dengan visi ekonomi digital yang ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Belia-belia di Samarahan dan Muara Tuang harus menjadikan e-sport sebagai satu sukan untuk memperkasakan minda semasa COVID-19 ini.

“Sepertimana YAB Ketua Menteri Abg Jo selalu tekankan iaitu digital ekonomi dan sebagainya…inilah hasil daripada aspirasi digital ekonomi tersebut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Kejohanan Piala Esports ADUN N.16 Muara Tuang di D-Virtual Park, Kota Samarahan pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan & Rekreasi Anak-Anak Samarahan, Dato Rahman Lariwoo selaku penganjur merakamkan penghargaan kepada Dato’ Idris di atas kesudian menaja kejohanan tersebut.

Katanya, selain penganjuran kejohanan itu, terdapat beberapa program lain telah dirangka untuk memperkasakan belia di Kota Samarahan.

“Kami juga akan mengadakan program media sosial untuk membangunkan belia-belia dan Samarahan dan ia bertempat di Sadong Jaya.

“Selain itu, kita juga merancang untuk mengadakan Jelajah Berbasikal dari Samarahan hingga Sebuyau dan Simunjan untuk memperkenalkan Kelab Sukan & Rekreasi Anak-Anak Samarahan,” katanya.

Terdahulu diadakan upacara ringkas penyerahan tajaan dari ADUN Muara Tuang dan Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA).

Hadir sama Presiden SESA Afiq Fadhli Narawi, Pengurus Kumpulan Ketua Serba Dinamik Kota Samarahan Muliadi Imran dan Pengerusi Kejohanan, Gulbudin Hekmateyer Rahman.

Peringkat kumpulan kejohanan tersebut akan diadakan dari 29 Mac ini hingga 1 April depan manakala grandfinal dari 10 hingga 11 April di D-Virtual Park, Kota Samarahan.

Ia mempertandingkan kategori PUBG Mobile dan Mobile Legends: Bang Bang dengan mempertaruhkan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM5,000 kepada pemenang.

Sebanyak 64 pasukan mengesahkan penyertaan dalam kategori PUBG Mobile dan 32 pasukan dalam kategori Mobile Legends: Bang Bang. – EDISI UKAS

Share

add comment